UMNO Tunjang Kestabilan, Realisasikan Harapan Generasi Baharu – Asna Amin

KUALA LUMPUR, 17 April – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan bahawa UMNO perlu bangkit semula sebagai sebuah parti yang dominan demi memastikan kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan negara terus terpelihara.

Menurut beliau, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik biasa, sebaliknya merupakan wadah perjuangan yang telah lama menjadi tunjang kepada kestabilan dan kemakmuran negara sejak sebelum merdeka hingga ke hari ini.

“UMNO mesti kembali dominan. Ini bukan soal kuasa semata-mata, tetapi soal tanggungjawab untuk memastikan agenda agama, bangsa dan institusi raja-raja terus dipertahankan.

“UMNO adalah parti yang dari dulu hingga kini tetap istiqamah memperjuangkan agama Islam, mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu serta memelihara bumi tercinta ini daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat kestabilan negara.

“UMNO perlu dilihat sebagai parti masa depan, bukan sekadar bergantung kepada sejarah. Kita mesti tampil dengan idea, dasar dan tindakan yang benar-benar menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng itu, UMNO masih menjadi satu-satunya harapan besar bagi orang Melayu untuk mempertahankan teras dan kedudukan mereka di bumi Malaysia.

“Realitinya, UMNO adalah benteng terakhir yang mampu menyatukan orang Melayu serta mempertahankan hak dan kepentingan mereka dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban menjelaskan, UMNO perlu menjadikan pengalaman jatuh bangun sepanjang 80 tahun penubuhannya sebagai kekuatan baharu untuk mendepani cabaran semasa.

“UMNO pernah melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun sepanjang 80 tahun ini. Pengalaman ini mesti diterjemahkan semula sebagai kekuatan untuk menghadapi cabaran masa kini, bukan sekadar disebut sebagai kenangan sejarah.

“Sebaliknya, segala pengalaman tersebut perlu diolah menjadi panduan strategik bagi memastikan parti terus relevan, diyakini rakyat dan mampu menawarkan penyelesaian terhadap isu-isu semasa yang dihadapi masyarakat,” ujarnya.

Seterusnya kata beliau lagi, UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada nostalgia semata-mata, tetapi mesti bangkit dengan pendekatan baharu yang lebih segar, inklusif dan berorientasikan masa depan agar dapat menawan kembali keyakinan generasi muda serta seluruh lapisan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO