UMNO 80 Tahun: Rumah Bangsa Jadi Teras Perkukuh Perjuangan – Ab Rauf

MELAKA, 17 April — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa usia UMNO yang melangkah ke-80 tahun membuktikan kekuatan perjuangan parti terus utuh dan tidak pernah padam.

Menurut beliau, selama lapan dekad, UMNO telah membuktikan keupayaannya sebagai tunjang kestabilan politik dan pembangunan negara, termasuk di Melaka yang kekal kukuh dengan sokongan akar umbi.

“Tahun ini, UMNO melangkah ke usia 80 tahun. Satu perjalanan panjang yang bukan sekadar dihitung dengan angka, tetapi ditempa dengan pengorbanan, disulam dengan kesetiaan dan diperteguhkan dengan semangat juang yang tidak pernah padam.

 

“Sesungguhnya, inilah bukti dari mata ke mata, dari hati ke hati bahawa semangat perjuangan UMNO akan terus marak, terus menjulang dan terus menyala,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang lapan dekad, perjuangan UMNO bukan sahaja terpahat dalam sejarah, malah menjadi asas kepada kekuatan bangsa, kestabilan negeri dan keyakinan masa depan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO seluruh Negeri Melaka 2026 yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Ab Rauf, hari ini buat julung kalinya lebih 3,000 perwakilan dari seluruh cawangan UMNO Negeri Melaka dihimpunkan di bawah satu bumbung bagi memperkukuh saf dan menyusun langkah perjuangan.

Katanya, di Melaka, kekuatan UMNO terus kukuh dengan 129,260 ahli yang digerakkan melalui 480 cawangan UMNO, 462 cawangan Wanita, 396 cawangan Pemuda dan 276 cawangan Puteri.

“Bukan sekadar untuk berhimpun, tetapi untuk memperkukuh saf, memperbaharui tekad dan menyusun langkah agar kita terus teguh berdiri walau berdepan badai demi badai.

“Perjuangan ini tidak terhenti di pentas politik semata-mata, tetapi diterjemahkan dalam bentuk pentadbiran yang membawa hasil kepada rakyat.

“Apa yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini iaitu membela rakyat, memajukan negeri, memperkukuh ekonomi dan menjaga kebajikan, itulah juga yang dibawa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka hari ini,” katanya.

Mengulas gagasan Rumah Bangsa, beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai satu seruan penting dalam memperkukuh perpaduan dan mendekati rakyat.

“Justeru, amanah yang ada pada kita hari ini perlu digalas sebaik mungkin kerana cabaran semasa menuntut kita bukan sahaja bekerja, tetapi bekerja dengan lebih dekat, lebih cepat dan lebih tepat bersama rakyat.

“Dalam konteks inilah, pendekatan Rumah Bangsa yang dibawa oleh Presiden UMNO memberi makna yang cukup besar.

“Ia bukan sekadar satu pendekatan baharu, tetapi satu seruan untuk kita kembali rapat, kembali bersatu dan memperkemas saf perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Beliau berkata, di Melaka, gagasan itu diterjemahkan melalui tindakan termasuk penubuhan JR Digital bagi memantau sentimen rakyat secara menyeluruh.

“Melalui platform ini, sentimen rakyat dapat dipantau secara lebih menyeluruh dan tindakan dapat diambil dengan lebih pantas serta tepat dalam menyelesaikan setiap permasalahan.

“Pada masa yang sama, ia membantu memastikan setiap dasar kerajaan dan gerak kerja parti sampai dengan jelas, cepat dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Ab Rauf juga menyeru seluruh perwakilan memanfaatkan persidangan untuk memperkukuh kesatuan dan tekad perjuangan.

“Gunakanlah ruang dan kesempatan sepanjang persidangan ini sebaik mungkin untuk memperkukuh saf, memperteguh kesatuan dan menyatukan tekad.

“Sama-sama kita bekerja kuat, bersatu kita sepakat, bertaut hati dan berganding demi agama, bangsa dan tanah air… demi UMNO yang kita cintai.

“Insya-Allah, selagi kita bersama, selagi kita bekerja dan selagi kita ikhlas dalam perjuangan… UMNO tidak akan rebah apatah lagi menyerah… UMNO akan terus berdiri megah merentasi zaman,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Kadir.

Bersama dalam majlis ini juga ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta kepimpinan UMNO Negeri Melaka. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO