Malaysia–Australia Perkukuh Kerjasama Strategik, Fokus Isu Global
PUTRAJAYA, 17 April — Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri majlis sambutan rasmi sempena lawatan rasmi Anthony Albanese di Kompleks Perdana Putra, di sini, semalam.
Dalam rangka lawatan itu, Perdana Menteri Australia berkenaan turut mengadakan mesyuarat terhad bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Mohamad menyifatkan lawatan rasmi ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin dalam pelbagai bidang serta kerjasama strategik serantau.
Beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Australia, Penny Wong, yang menyentuh perkembangan konflik di Asia Barat serta kesannya terhadap krisis tenaga global, termasuk implikasi kepada kedua-dua negara.
“Telah dibincangkan perihal perkembangan konflik di Asia Barat dan kesannya terhadap krisis tenaga global, termasuk implikasi langsung kepada kedua-dua negara.
“Turut menyentuh kepentingan memperkukuh kerjasama Malaysia-Australia dan penyelarasan di peringkat antarabangsa dalam menangani cabaran geopolitik semasa,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, pemimpin kedua-dua negara menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama strategik dalam sektor daging merah halal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia, masing-masing diwakili oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry.
Terdahulu Anthony Albanese diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia. – UMNO Online
