Suraya Yaacob Dilantik Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia
KUALA LUMPUR, 16 April – Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob dilantik sebagai Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia dalam usaha memperkukuh jentera komunikasi parti, khususnya dalam mendepani cabaran era digital masa kini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said kepada Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.

Beliau menyifatkan Suraya sebagai pemimpin yang telah menunjukkan komitmen tinggi, keupayaan kepimpinan serta sumbangan signifikan dalam memperkukuh agenda komunikasi dan penerangan parti.
“Beliau telah menunjukkan komitmen, keupayaan kepimpinan serta sumbangan yang amat signifikan dalam memperkukuh agenda komunikasi dan penerangan parti, khususnya dalam mendepani cabaran era digital masa kini,” menurutnya.
Pelantikan tersebut diyakini mampu memperkemas struktur organisasi penerangan parti serta memperkukuh penyampaian maklumat yang lebih tersusun, strategik dan berkesan.
Selain itu, ia juga dijangka dapat memantapkan gerak kerja penerangan di semua peringkat, meningkatkan kecekapan komunikasi strategik serta menyokong agenda transformasi digital UMNO secara menyeluruh dan berfokus.
Langkah ini dilihat selari dengan usaha berterusan parti dalam memperkukuh peranan komunikasi sebagai teras penting dalam mendekati rakyat. – UMNO Online
