‘Had Umur Puteri UMNO Beri Cabaran Kepada Wanita Muda Berpolitik’

KUALA LUMPUR, 15 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyifatkan bahawa Puteri UMNO menjadi platform penting dalam melahirkan pemimpin wanita muda yang berkualiti.

Bagaimanapun menurut beliau, had umur keanggotaan Puteri UMNO memberikan limitasi kepada wanita muda untuk terus memperoleh pengalaman dalam organisasi sayap tersebut.

“Jika Puteri UMNO ini menjadi medan untuk tapak semayam pemimpin muda wanita, semestinya kita mahukan mereka ini pengalaman dan pemimpin yang berkualiti.

“Kalau mahukan benih yang bagus, beri masa kepada mereka… memegang jawatan dan melaksanakan gerak kerja dengan baik,” katanya.

Nurul Amal berkata demikian pada wawancara #HitamPutihKelabu UMNO 8 DEKAD: Legasi Jasa & Masa Depan yang disiarkan di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Mengulas lanjut kata beliau lagi, dinamika politik pada ketika ini menuntut pendekatan lebih realistik dalam memperkukuh parti dan melahirkan pemimpin pelapis yang bersedia menghadapi cabaran semasa.

“Dalam keadaan UMNO bukan satu pilihan parti yang ada… dahulu kita kerajaan, bukan UMNO yang perlukan pemimpin, masa itu orang mengharapkan parti untuk memberi kelebihan kepada mereka.

“Namun sekarang ini parti bergantung kepada kepimpinan yang ada untuk membawa pembaharuan.

“Sudah semestinya kita mahu menjadi parti dominan semula kerana sudah dua pilihan raya ini tidak ada parti pun yang dominan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO