UMNO Ke-80: Kepimpinan Parti Terus Kental Harungi Fasa Mencabar
KUALA LUMPUR, 14 April – Sejarawan Negara, Datuk Dr Ramlah Adam, menzahirkan pandangan terhadap kepimpinan semasa UMNO yang disifatkan berjaya mengemudi parti melalui antara tempoh paling sukar dalam sejarahnya.
Menurut beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kestabilan parti selepas kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh dianggap sebagai kepimpinan pada ‘zaman gelap’ UMNO, namun beliau menunjukkan ketabahan luar biasa dalam mendepani cabaran dalaman dan luaran,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut memuji pendekatan kepimpinan yang diambil oleh Ahmad Zahid yang disifatkan berlandaskan tradisi parti, tanpa menggunakan pendekatan keras.
“Beliau memimpin dengan tertib, berpegang kepada nilai dan budaya UMNO. Ini penting untuk memastikan parti kekal relevan dan dihormati.
“Saya berharap kepimpinan ini dapat terus memimpin dengan bijaksana, menjaga maruah parti, dan berpotensi membawa UMNO kembali ke persada kepimpinan negara,” ujarnya.
Mengulas masa depan politik negara, beliau turut memberikan nasihat kepada ahli parti dan pengundi sebagai penentu hala tuju negara.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan kesetiaan dan disiplin dalam mempertahankan UMNO amat penting.
“Ahli UMNO perlu terus setia dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi luar yang boleh melemahkan parti,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan pengundi agar lebih rasional dan matang dalam membuat pilihan.
“Pengundi perlu membuat kajian, menilai dengan bijak dan tidak membuat keputusan berasaskan emosi semata-mata. Kesilapan memilih boleh memberi kesan kepada kestabilan negara,” jelasnya.
Beliau turut merujuk kepada situasi politik selepas PRU14 yang menyaksikan perubahan kepimpinan negara yang kerap dalam tempoh singkat.
“Kita telah melihat bagaimana ketidakstabilan boleh berlaku apabila keputusan dibuat tanpa pertimbangan menyeluruh,” katanya.
Ujarnya, ketahanan kepimpinan semasa UMNO menjadi faktor penting dalam menghadapi cabaran politik masa kini.
“Kestabilan negara pada akhirnya bergantung kepada kebijaksanaan pengundi dalam membuat pilihan yang tepat,” katanya lagi. – UMNO Online
