Titah Sultan Kedah Jadi Isyarat Tegas Isu Langkawi, Tadbir Urus Negeri Dipersoal
ALOR SETAR, 14 April – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, menyifatkan titah ucapan Sultan Kedah sempena pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah 2026 sebagai satu peringatan jelas terhadap keadaan semasa negeri, khususnya melibatkan pembangunan ekonomi dan hala tuju pentadbiran.
Menurut beliau, titah oleh Sultan Kedah itu bukan sekadar istiadat rasmi, sebaliknya mengandungi mesej yang “tepat mengenai realiti semasa negeri” jika diteliti secara mendalam.
“Titah Tuanku bukan sekadar ucapan istiadat, tetapi penuh dengan mesej yang kalau kita dengar betul-betul, memang kena tepat pada keadaan semasa negeri,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau turut menekankan isu pembangunan Langkawi, yang dibangkitkan dalam titah tersebut, termasuk cadangan agar pulau berkenaan dikembalikan sebagai zon bebas cukai sepenuhnya.
“Bila Tuanku sendiri bangkitkan soal Langkawi dan mencadangkan supaya ia dikembalikan sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya, itu bukan cadangan kosong. Itu isyarat jelas bahawa perkembangan Langkawi hari ini agak mengecewakan,” ujarnya.
Tambah beliau, situasi itu mencerminkan kelemahan kerajaan negeri dalam merancang pembangunan strategik.
“Bila sampai tahap Tuanku terpaksa melihat kepada Persekutuan untuk hidupkan semula Langkawi, itu gambaran bahawa kerajaan negeri seolah-olah tiada pelan yang benar-benar meyakinkan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh peringatan Sultan Kedah agar agama tidak dipolitikkan, yang menurutnya merupakan teguran terbuka terhadap pihak tertentu.
“Itu bukan ayat biasa, tetapi teguran terus terang kepada mereka yang lebih selesa bermain sentimen daripada menyelesaikan masalah sebenar rakyat,” katanya.
Mengulas keadaan ekonomi negeri, beliau berkata rakyat kini semakin mempersoalkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri berikutan isu berulang seperti bekalan air dan perkembangan pelaburan yang tidak memberangsangkan.
“Bila ekonomi perlahan, isu asas seperti air semakin buruk, rakyat akan mula bertanya siapa sebenarnya yang mengurus negeri ini,” katanya.
Beliau juga membangkitkan beberapa isu lain yang menurutnya memerlukan penjelasan segera daripada Menteri Besar, termasuk dakwaan kenaikan cukai tanah, premium tanah dan cukai pintu.
“Rakyat berhak tahu ke mana arah sebenar dasar ini, apa pelannya, terutama dalam keadaan ekonomi global yang menekan,” tegasnya.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan berkaitan isu integriti, termasuk dakwaan melibatkan pegawai politik serta isu pemilikan sebuah kediaman mewah di Alor Setar yang dikaitkan dengan Menteri Besar.
“Kalau benar, katakan benar. Kalau tidak, katakan tidak. Rakyat berhak tahu bagaimana tanah itu diperoleh dan dari mana sumber pembiayaannya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ketelusan amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri terus terpelihara. – UMNO Online
