Raikan Raya Sekampung: Onn Hafiz Santuni Rakyat, Hargai Pelajar Cemerlang
JOHOR BAHRU, 14 April – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, meraikan sambutan “Raya Sekampung Bangsa Johor” di lima lokasi berbeza sekitar Simpang Renggam dalam usaha mendekati rakyat serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Program tersebut melibatkan persinggahan di Felda Ayer Hitam, Kampung Bukit Batu, Kampung Parit Ghani, Felda Layang-Layang dan Kampung Melayu Layang-Layang.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Raya, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Saya amat seronok melihat sambutan yang cukup meriah dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna. Inilah kehangatan silaturahim yang menjadi kekuatan sebenar Bangsa Johor,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, khususnya masyarakat setempat yang memberi kerjasama dan komitmen tinggi.
“Usaha dan komitmen semua bukan sahaja memeriahkan sambutan tetapi menghidupkan semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan negeri ini,” tambahnya.
Selain beramah mesra, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada 119 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tanda sokongan terhadap kecemerlangan pendidikan.
Tidak ketinggalan, sumbangan turut disampaikan kepada 95 bakal jemaah haji sebagai dorongan serta doa agar urusan mereka dipermudahkan.

“Terima kasih kepada keluarga besar saya di Simpang Renggam serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan setiap program Raya Sekampung ini. Usaha dan komitmen semua bukan sahaja memeriahkan sambutan tetapi menghidupkan semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan negeri ini.
“Semoga kebersamaan ini terus dipelihara, diberkati Allah SWT, dan menjadi asbab kepada kesejahteraan serta keharmonian Bangsa Johor yang berpanjangan. Insya-Allah.” – UMNO Online
