Khaled Nordin Terima Kunjungan Duta Iran, Zahir Takziah dan Harapan Hentikan Konflik
KUALA LUMPUR, 14 April – Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi, semalam dalam satu pertemuan yang membincangkan hubungan dua hala serta isu keselamatan serantau.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian beberapa pimpinan utama kerajaan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), termasuk Menteri Pertahanan Iran, susulan konflik bersenjata yang berlaku di negara berkenaan. Beliau juga menyatakan simpati terhadap kehilangan nyawa, kecederaan serta kerosakan harta benda yang berlaku.

“Saya merakamkan takziah atas pemergian pimpinan utama Kerajaan Iran dan IRGC termasuk Menteri Pertahanannya susulan konflik bersenjata di negara mereka. Saya turut sampaikan takziah dan simpati atas kehilangan nyawa dan kecederaan yang ramai serta kerosakan kepada harta benda,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Iran atas kerjasama dalam memastikan keselamatan kapal dagang Malaysia di Selat Hormuz, yang disifatkan penting bagi kelangsungan bekalan tenaga negara.
“Saya turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Iran atas kerjasama memastikan keselamatan kapal dagang Malaysia di Selat Hormuz, yang amat penting bagi kelangsungan bekalan tenaga negara,” jelasnya.
Beliau turut menekankan harapan agar konflik yang sedang berlaku dapat dihentikan segera demi mencapai keamanan dan kestabilan di rantau tersebut.
“Saya menyampaikan harapan agar konflik ini dapat diberhentikan segera agar keamanan serta kestabilan serantau dapat dicapai,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh mengenai pandangannya terhadap kemampuan teknologi pertahanan Iran, termasuk dron, roket dan misil, serta menzahirkan kekaguman terhadap nilai patriotisme dan ketahanan rakyat negara tersebut. – UMNO Online
