Isu Rakyat Mesti Diselesai Segera, Tiada Penangguhan – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 14 April – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi atau bertangguh dalam melaksanakan projek pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat.

Penegasan itu dibuat selepas beliau mewakili Menteri Besar Johor mempengerusikan Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Johor Bahru yang melibatkan lapan kawasan DUN di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal pelaksanaan dan kita tidak boleh bertangguh dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, setiap peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta kecekapan, tanpa sebarang kelewatan birokrasi.

“Untuk tahun 2026, sebanyak RM31,063,940.00 telah diluluskan melibatkan 77 projek pembangunan di seluruh Daerah Johor Bahru, merangkumi kerja baik pulih, naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara,” jelas beliau.

Dalam masa sama, katanya, sebanyak 10 projek telah dikenal pasti untuk kelulusan segera, dengan keutamaan diberikan berdasarkan tiga aspek utama iaitu bencana, sosial dan keselamatan, yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.

Mohd Jafni turut memaklumkan bahawa Menteri Besar Johor telah mengarahkan semua agensi berkaitan supaya mempercepatkan proses kelulusan serta pelaksanaan projek tanpa sebarang kelewatan.

“Apabila melibatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, kita tidak boleh berlengah. Tindakan mesti segera dan berkesan,” tegasnya.

Dalam mesyuarat tersebut, sebanyak 288 isu dan perkara berbangkit telah dibincangkan secara menyeluruh. Daripada jumlah itu, 79 isu telah berjaya diselesaikan, manakala 92 isu sedang dalam pelaksanaan, menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani aduan rakyat.

Beliau menambah bahawa setiap isu yang masih belum selesai akan terus dipantau secara rapi dengan tanggungjawab jelas diberikan kepada setiap agensi terlibat.
“Setiap perancangan mesti diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan. Rakyat mahu melihat hasil, bukan sekadar perancangan,” katanya lagi.

Jelasnya, projek-projek yang dirancang merangkumi pelbagai aspek termasuk penambahbaikan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir, naik taraf jalan raya, kemudahan awam serta fasiliti komuniti dan pendidikan.

Beliau berharap kerjasama erat antara semua pihak akan memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan dengan sebaiknya demi manfaat seluruh rakyat Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO