Pemuda UMNO Kuala Kangsar Susun Strategi, Perkasa Akar Umbi – Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 9 April – Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Kangsar terus memperkukuh gerak kerja organisasi dengan menyusun pelbagai program strategik serta memperkemaskan aspek pengurusan sebagai persediaan menghadapi tahun 2026.
Ketuanya, Mohamad Arif Abdul Talib berkata, usaha berterusan ini penting bagi memastikan kekuatan parti di peringkat akar umbi terus diperkasa, selari dengan peranan Pemuda sebagai tunjang utama dalam memperkukuhkan UMNO.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dirumuskan secara menyeluruh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar Bil. 2/2026 yang berlangsung semalam dan berjalan dengan lancar.
“Perbincangan kali ini lebih tertumpu kepada aspek pengurusan serta persediaan rapi bagi memastikan mesyuarat di peringkat cawangan yang bakal berlangsung dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tersusun dan berkesan,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau lagi, komitmen serta kesepaduan dalam kalangan ahli Pemuda amat penting dalam memastikan setiap gerak kerja parti dapat dilaksanakan dengan efektif, sekali gus memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
“Langkah berterusan ini mencerminkan kesungguhan Pemuda UMNO dalam memperkukuhkan organisasi parti serta memastikan kesinambungan perjuangan UMNO terus relevan, kukuh dan diyakini oleh generasi muda,” ujarnya. – UMNO Online
