TPM Adakan Kunjung Hormat Ke TYT Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 7 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengadakan kunjung hormat ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dalam satu pertemuan rasmi yang berlangsung di Sri Mutiara, malam tadi.
Menurut Ahmad Zahid, sesi tersebut memberikan nilai tambah dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan negara, khususnya di Pulau Pinang.

“Saya amat menghargai perkongsian pandangan serta pengalaman oleh TYT Tun, yang memberi nilai dan inspirasi dalam usaha memperkukuh pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau turut mendoakan agar TYT Tun Ramli sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan dalam menerajui negeri.
“Saya mendoakan agar TYT Tun Ramli sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan. Semoga kepimpinan beliau terus membawa kemakmuran dan keharmonian kepada seluruh rakyat di negeri ini.” – UMNO Online
