Semangat Aidilfitri Eratkan Perpaduan, Keluarga Harmoni UMNO Bukit Bintang Dilancar

KUALA LUMPUR, 7 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus diraikan dalam suasana meriah dan penuh semangat kebersamaan menerusi Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri sebagaimana UMNO Bahagian Bukit Bintang melaksanakannya di Dewan Perdana pejabat bahagian terbabit, pada Ahad.

Majlis yang bermula seawal jam 10 pagi itu dimulakan dengan perasmian Mesyuarat Berkelompok melibatkan 25 cawangan, sekali gus mencerminkan komitmen akar umbi dalam memperkukuh organisasi parti.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran barisan kepimpinan UMNO Wilayah Persekutuan, selain ahli-ahli parti dan masyarakat setempat yang hadir dalam suasana harmoni dan penuh muhibah.

Ketuanya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli parti.

Menurut beliau, Aidilfitri membawa makna besar dalam menyatukan hati serta membuka ruang memperbaiki hubungan demi kebaikan bersama.

“Semangat Hari Raya ini harus dijadikan titik permulaan untuk memperkukuh ukhuwah, membuang segala sengketa dan mempereratkan hubungan dalam keluarga UMNO,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Konsep Harmoni “Keluarga UMNO Bukit Bintang” yang menjadi asas kepada pengukuhan dalaman parti di peringkat bahagian.

Beliau menegaskan bahawa budaya fitnah perlu ditolak sepenuhnya kerana ia boleh merosakkan parti dari dalam tanpa disedari.

“Jangan menyebar khabar angin atau tuduhan tanpa bukti. Kesetiaan dalam parti perlu disertai dengan etika dan prinsip yang betul,” ujarnya.

Tambah beliau, perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun setiap ahli perlu berdisiplin dan menghormati keputusan parti.

“Kritikan dibenarkan, tetapi biarlah secara berhemah dan melalui saluran dalaman yang betul. Apabila keputusan telah dibuat, kita perlu bergerak sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli agar menjaga nama baik parti dan mengelakkan konflik terbuka di media sosial.

“Sempena Aidilfitri ini, marilah kita utamakan perpaduan dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi,” tegas beliau.

Majlis tersebut berakhir dalam suasana penuh kemeriahan, mencerminkan semangat Aidilfitri yang terus menjadi pengikat perpaduan dalam kalangan ahli serta masyarakat setempat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO