Iktibar Dari Kes MARA, Rais Yasin Seru Elak Sebar Fitnah
MELAKA, 7 April – Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin menyeru masyarakat agar mengambil iktibar dan tidak sesekali menormalisasikan budaya fitnah tanpa usul periksa.
Beliau berkata demikian susulan kes fitnah yang melibatkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkaitan dakwaan kenyataan tidak benar terhadap MARA.
Mengikut penyelesaian kes tersebut, pihak defendan bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara bertulis, menarik balik serta memadam semua kandungan berkaitan di media sosial, selain membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada MARA.

Menurut Rais, perbuatan menyebarkan tuduhan tidak berasas bukan sahaja merosakkan nama baik individu, malah boleh menggugat perpaduan ummah, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu Islam.
“Kita semua perlu ambil iktibar. Jangan sesekali menormalisasikan budaya fitnah tanpa usul periksa. Ia bukan sahaja boleh merosakkan nama baik individu, malah lebih berbahaya kerana boleh menggugat perpaduan ummah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai Muslim, masyarakat perlu menjadi contoh terbaik dalam negara majmuk seperti Malaysia serta sentiasa berusaha memupuk keharmonian dan kesatuan.
Dalam perkembangan berkaitan, semalam Rais hadir memberi sokongan kepada Dr Asyraf Wajdi, yang juga Setiausaha Agung UMNO.
Kes berkenaan melibatkan dakwaan kenyataan tidak benar terhadap MARA telah diselesaikan secara baik apabila Mas Ermieyati Samsudin bersetuju membuat permohonan
maaf secara bertulis, menarik balik serta memadam kandungan berkaitan di media sosial, selain membayar ganti rugi sebanyak RM50,000.
Penghakiman persetujuan tersebut direkodkan di Mahkamah Tinggi Melaka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim sebagai penyelesaian di luar perbicaraan penuh.

Rais menyifatkan penyelesaian itu sebagai satu perkembangan positif yang memperlihatkan kebenaran dapat ditegakkan secara harmoni.
“Alhamdulillah, berkat Syawal kebenaran akhirnya tertegak. Semoga kita semua terus dipandu ke arah kebaikan dan kesatuan,” ujarnya lagi.
Mei tahun lalu, MARA memulakan prosiding saman terhadap Mas Ermieyati atas dakwaan mengeluarkan beberapa kenyataan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan berunsur fitnah, berkaitan dakwaan salah urus dana serta pemberhentian program tertentu di bawah seliaan MARA.
Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilapor telah menuduh Dr Asyraf Wajdi membazirkan dana MARA melalui lawatan mengejut, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). – UMNO Online
