Rumah Terbuka Aidilfitri Bagan Datuk Rai Masyarakat Setempat, Erat Hubungan Bersama Rakyat
BAGAN DATUK, 5 April – Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menganjurkan Rumah Terbuka sempena Sambutan Aidilfitri di Dewan Lope Hashim pada Sabtu.
Majlis ini menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara rakyat dan pemimpin negara dalam suasana Aidilfitri yang santai dan penuh kemesraan.

Keunikan program ini dapat dilihat melalui kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang kaum. Bukan sahaja penduduk setempat, malah tetamu dari luar kawasan turut hadir, sekali gus menggambarkan semangat perpaduan, keakraban dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat majmuk.
Berdasarkan pemerhatian UMNO Online, majlis bermula sekitar jam 8.00 malam dengan ketibaan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni para tetamu.
Beliau turut menceriakan majlis dengan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak, menambah lagi kegembiraan dalam suasana sambutan tersebut.

Penganjuran acara ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tetamu yang hadir juga dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik seperti sate, martabak, soto ayam, cendol, char kuey teow, apam balik serta aneka hidangan lain yang menyerikan lagi majlis rumah terbuka ini. – UMNO Online
