Anak Mangsa Nahas Pemandu Mabuk Dapat Perhatian Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 1 April – Kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal yang dilanggar pemandu mabuk di Klang mendapat perhatian Setiausaha Agung UMNO yang juga Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Prihatin dengan tiga anak keluarga Allahyarham Mohd Amirul Hafiz beliau menghubungi ibu arwah Puan Faridah, bagi menzahirkan simpati dan sokongan kepada mereka yang berhadapan ujian ini.
“Kelmarin tular satu insiden kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang yang melibatkan sebuah kereta Honda City dipandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal, Mohd Amirul Hafiz berusia 33 tahun.
“Saya dimaklumkan arwah meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil, dua orang sedang bersekolah rendah dan seorang lagi baru berusia 2 tahun. Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa tetapi meninggalkan luka yang amat mendalam buat seluruh keluarga.
“Saya sempat membuat panggilan video bersama ibu arwah, Puan Faridah tatkala Ibu kepada anak-anak ini, Puan Nor Nadia keluar untuk menyelesaikan urusan arwah.
“Dalam nada penuh sebak, beliau berkongsi bahawa arwah adalah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga. Kehilangan ini bukan sekadar kehilangan seorang insan tetapi hilangnya tempat bergantung buat anak-anak yang masih kecil,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan, beliau memaklumkan MARA mengambil keputusan untuk menjadikan anak Allahyarham Mohd Amirul yang dikenali sebagai Aqif dan Atif sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran MARA.
Beliau memaklumkan ia bukan sekadar bantuan sementara tetapi komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela.
“Bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan.
“Kepada adik Aqif dan Atif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga. Insya-Allah, MARA akan sentiasa bersama kalian dalam membina masa depan yang lebih baik,” ujar beliau.
Dr Asyraf turut memaklumkan Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff dan CEO Yayasan Pelajaran MARA, Faisalludin Mohamat Yusuff, mewakili beliau bagi menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan bantuan. – UMNO Online
