The East: Gerakan Usaha Hubung Lokal Ke Global, Persiap Generasi Akan Datang
KUALA LUMPUR, 30 Mac – The East adalah permulaan sebuah gerakan kepada usaha untuk menghubungkan lokal ke global di samping mempersiapkan generasi akan datang, kata Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Ekonomi berkata, The East juga lahir daripada keyakinan bahawa anak-anak Pantai Timur berpotensi dan memerlukan peluang untuk melangkah lebih jauh.

“Alhamdulillah. Setiap perjalanan besar bermula dengan satu langkah yang kecil dan hari ini saya berdiri melihatnya hampir menjadi sebuah realiti.
“The East bukan sekadar sebuah pusat yang dibina dengan batu dan struktur, tetapi ia lahir daripada sebuah keyakinan, bahawa anak-anak Pantai Timur, Pahang dan Paya Besar tidak pernah kekurangan potensi, cuma mereka perlukan ruang, peluang serta jaringan untuk melangkah lebih jauh.
“Dari tanah makmur yang sederhana ini … kita tanam harapan agar lahir generasi yang mampu berdiri di pentas antarabangsa, bersaing di peringkat nasional dan membawa nama tanah ini dengan penuh maruah,” katanya.

Ujarnya, membentuk jiwa dan mengasah pemikiran anak muda untuk mencorakkan masa depan adalah kerja yang jauh lebih berat namun bermakna.
“Saya percaya membina bangunan itu mudah. Tetapi membina insan, membentuk jiwa, mengasah pemikiran dan mencorakkan masa depan, itu adalah kerja yang jauh lebih berat.
“Namun, itulah kerja yang paling bermakna. Akhirnya, yang akan mengangkat nama Pahang dan Paya Besar bukanlah struktur yang kita bina, tetapi manusia yang kita lahirkan.
“The East adalah permulaan kepada gerakan sebuah usaha untuk menghubungkan lokal ke global, membuka horizon baharu dan mempersiapkan generasi akan datang bagi dunia lebih besar daripada apa yang kita lihat hari ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa The East akan mula beroperasi sekitar Mei 2026.
“Insya-Allah, pusat ini dijangka mula beroperasi sekitar Mei 2026. Semoga setiap usaha yang digerakkan di sini menjadi asbab kebaikan berpanjangan, melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang bukan sahaja berjaya, tetapi juga berjiwa besar dan berprinsip.
“Dari Pahang dan Paya Besar, kita melangkah ke dunia,” katanya lagi. – UMNO Online
