Hari Doktor Sedunia: Peranan Doktor Tonggak Kesejahteraan Rakyat – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa peranan doktor merupakan tonggak utama dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

Beliau berkata, profesion doktor menuntut kecekalan jiwa, integriti tinggi dan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.

“Tugas dan tanggungjawab seorang doktor bukanlah mudah. Ia menuntut kecekalan jiwa, integriti yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.

“Justeru, tanggal 30 Mac setiap tahun menjadi detik bermakna untuk kita menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga doktor yang terus menabur bakti kepada nusa dan bangsa.

“Pada kesempatan ini, saya mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan Selamat Hari Doktor Sedunia kepada semua doktor di Malaysia, khususnya di negeri Melaka, atas segala jasa, dedikasi serta pengorbanan yang tidak ternilai dalam menjaga kesihatan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara turut berharap agar semua doktor terus diberi kekuatan dan kecemerlangan untuk menjalankan tugas.

“Sesungguhnya, peranan doktor amat besar dan signifikan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara. Profesion ini bukan sahaja menjadi tunjang utama sistem kesihatan, malah lambang keprihatinan dan kemanusiaan yang perlu terus dihormati serta disanjung tinggi.

“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan. Semoga semua doktor terus diberi kekuatan dan kecemerlangan dalam menggalas amanah demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Melaka Sayang Rakyat, Rakyat Menyanjung Doktor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO