Pemuda UMNO Bakal Anjur RIMBUN 2.0, Bahas Isu Kenaikan Harga Minyak

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bakal menganjurkan Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 (RIMBUN 2.0) dalam tempoh yang terdekat untuk membahaskan isu kenaikan harga minyak.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh berkata, ia merupakan isu global yang perlu ditangani bersama dari kerajaan mahupun pembangkang untuk kebaikan rakyat.

“Sejak dahulu lagi, peningkatan harga minyak ini bukan disebabkan kerajaan sesuka hati menaikkan harga minyak… tetapi kebanyakan faktornya adalah akibat peningkatan harga minyak di pasaran dunia.

“Walaupun pembangkang ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu mengkritik dan menghina kerajaan akibat kenaikan harga minyak ketika itu, bagi kami, ini adalah isu global yang perlu ditangani bersama baik oleh kerajaan mahupun pembangkang untuk kebaikan rakyat. Bukan menunggang isu ini untuk memperbodohkan pemikiran rakyat.

“Sehubungan dengan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menganjurkan sekali lagi RIMBUN 2.0 dalam tempoh terdekat ini untuk menghimpunkan pakar-pakar ekonomi, profesional ‘oil and gas’ dan pemain-pemain industri yang terlibat daripada kenaikan harga minyak.

“Ini adalah untuk kita duduk bersama dan kita bincangkan cadangan yang boleh diangkat kepada pihak kerajaan demi kebaikan rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menjemput semua pihak untuk hadir ke rundingan berkenaan.

“Saya juga menjemput semua pihak untuk hadir termasuklah dari parti kerajaan mahupun pembangkang. Kita dengar dan bincang bersama dengan hati serta pemikiran yang terbuka.

“Ini bukan masa untuk para pemimpin bergaduh … ini masa untuk kita membuat satu keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

“Kami tidak berjanji kosong, tetapi kami membawa solusi yang terbaik untuk kita semua. Insya-Allah kita jumpa di RIMBUN 2.0,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan, harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 menyaksikan harga RON95 tanpa subsidi naik kepada RM3.87 seliter berbanding RM3.27 sebelum ini.

Harga RON97 naik kepada RM5.15 manakala diesel bagi semenanjung naik kepada RM5.52.

Harga BUDI95 dan diesel Sabah dan Sarawak kekal masing-masing pada kadar RM1.99 seliter dan RM2.15 seliter. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO