Marathon Raya #TrongKita Eratkan Silaturahim, Hidupkan Semangat Aidilfitri
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Ibnu Rasyeed Mat Isa memanfaatkan sambutan Aidilfitri dengan turun padang menyantuni masyarakat menerusi program ziarah rumah ke rumah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong.
Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi DUN Trong berkata, inisiatif yang dikenali sebagai Marathon Raya #TrongKita itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim bersama penduduk setempat, khususnya sempena musim perayaan.
“Dari awal pagi sampai lewat petang hari ni, saya dengan isteri bersama rombongan pusing-pusing terjah raya rumah orang orang lama sekitar DUN Trong.
“Memang meriah, jumpa ramai orang, gelak tawa tak berhenti,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut beliau, sambutan yang diberikan oleh penduduk amat menggalakkan, malah setiap kunjungan turut disambut dengan pelbagai juadah tradisional yang mencerminkan kemeriahan Aidilfitri.
Dalam pada itu, Ibnu Rasyeed menyifatkan program ziarah berkenaan sebagai platform terbaik untuk mendekati masyarakat termasuk anak-anak perantau yang pulang ke kampung halaman.
“Terima kasih banyak-banyak kepada semua tuan rumah yang sudi terima kami, siap jamu macam-macam juadah.
“Alhamdulillah dapat bersembang dengan anak anak perantau yang balik ke kampung untuk beraya, terbaik orang Trong, ramah dan pemurah.
“Insya-Allah esok kita sambung lagi ronda-ronda raya,” ujar beliau. – UMNO Online
