Peranan PDRM Kekal Relevan Dalam Menjamin Keharmonian Negara – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias merakamkan penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), bersempena sambutan Hari Polis ke-219 hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata keamanan dinikmati rakyat hari ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya terhasil daripada keringat, keberanian dan pengorbanan anggota keselamatan yang tidak mengenal erti penat lelah.
“Hari ini kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh warga PDRM, khususnya yang bertugas di Negeri Sembilan dan daerah Jelebu.
“Keamanan yang kita kecapi hari ini bukanlah satu kebetulan, ia adalah hasil keringat, keberanian dan pengorbanan mereka yang tidak mengenal erti penat demi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjaga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Jalaluddin menyifatkan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” sebagai bukan sekadar slogan, tetapi melambangkan hubungan erat antara pasukan keselamatan dan masyarakat yang menjadi asas kepada keharmonian komuniti.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas dedikasi anggota PDRM yang berkhidmat tanpa mengira waktu demi melindungi negara.
“Terima kasih atas dedikasi anda sebagai perisai negara, sama ada di bawah terik matahari mahupun di tengah keheningan malam.
“Semoga seluruh warga PDRM terus dilindungi Allah SWT dalam melaksanakan amanah yang cukup besar ini.
“Jasa kalian akan sentiasa terpahat di hati sanubari rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online
