Hari Polis ke-219: Kecekalan, Keberanian Tunjang Kekuatan Pasukan Keselamatan Negara
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kecekalan dan keberanian sebagai tunjang kekuatan pasukan keselamatan negara.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis ke-219.

“Selamat menyambut Hari Polis ke-219. Setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memelihara keamanan, menegakkan undang-undang dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.
“Di sebalik setiap kejayaan dan keamanan dikecapi, terselit pengorbanan besar anggota polis yang sanggup berdepan risiko, berkorban masa bersama keluarga, dan berkhidmat tanpa mengenal erti penat serta lelah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar seluruh warga PDRM terus dipelihara dan sentiasa istiqamah menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Kecekalan dan keberanian inilah yang menjadi tunjang kekuatan pasukan keselamatan negara.
“Semoga seluruh warga PDRM terus dipelihara, dikurniakan kekuatan dan sentiasa istiqamah dalam menjalankan amanah demi agama, bangsa serta tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online
