Ahmad Zahid Zahir Penghargaan Terhadap Jasa, Pengorbanan Anggota PDRM
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terus komited memastikan keselamatan serta keamanan negara terpelihara.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 yang berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) itu mengimbau kembali kenangan serta pengalaman beliau ketika berkhidmat sebagai Menteri di Kementerian Dalam Negeri.
“Banyak kenangan lama kembali bermain di fikiran. Di sinilah saya pernah menyaksikan sendiri bagaimana amanah besar digalas dengan penuh disiplin dan keikhlasan.
“Pengalaman semasa berkhidmat sebagai Menteri di KDN suatu ketika dahulu benar-benar membentuk kefahaman saya tentang erti pengorbanan seorang anggota polis,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian menerusi satu perkongsian di Facebook selepas mengiringi Perdana Menteri ke Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219.
Tambah beliau, bagi warga PDRM, tugas menjaga keselamatan bukan sekadar pilihan, sebaliknya tanggungjawab besar yang menuntut komitmen tinggi dalam pelbagai situasi termasuk berdepan cabaran baharu dalam era digital.
Ujarnya lagi, keamanan yang dinikmati rakyat hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya hasil daripada disiplin dan pengorbanan berterusan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
“Mereka berdiri di hadapan rakyat ketika diperlukan, menjadi benteng keselamatan dalam pelbagai situasi termasuk cabaran baharu dalam dunia digital hari ini.
“Apa yang kita nikmati hari ini tidak datang dengan mudah. Ia dibina melalui disiplin dan pengorbanan yang berterusan, diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
“Selamat Hari Polis ke-219 kepada seluruh warga PDRM. Sampaikan salam Aidilfitri saya kepada seluruh warga PDRM dan keluarga anda semua,” ujar beliau. – UMNO Online
