Syukuri Nikmat Aidilfitri, Disambut Suasana Aman Dan Harmoni
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof mengingatkan masyarakat agar memanfaatkan sambutan Aidilfitri sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga, sahabat handai dan masyarakat setempat.
Menurutnya, Aidilfitri juga merupakan medan terbaik untuk saling bermaafan, memperkukuh perpaduan serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri ini, marilah kita memanfaatkan kesempatan yang ada untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama keluarga, sahabat handai dan masyarakat.
“Jadikanlah Aidilfitri sebagai medan untuk saling bermaafan, memperkukuh perpaduan dan menyemai semangat kebersamaan,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
juga meluahkan kesyukuran atas nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi sehingga dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan harmoni.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian Mersing serta semua pihak yang sentiasa berusaha dan berkhidmat demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan daerah Mersing yang kita cintai ini.
“Marilah kita sama-sama bersyukur atas nikmat dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah SWT sehingga kita dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan harmoni. Semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri ini membawa kebahagiaan, keberkatan dan kesejahteraan kepada kita semua,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu turut menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Beliau berkata para pengguna jalan raya perlu merancang perjalanan dengan baik selain mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung berlangsung dengan selamat.
“Mereka yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta, saya ingin menasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya.
“Rancanglah perjalanan dengan baik, patuhi peraturan lalu lintas dan pastikan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dengan mengunci pintu serta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
