Ahmad Zahid Hargai Pengorbanan APM, 74 Tahun Berbakti Kepada Rakyat
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sempena sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-74 hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata tidak semua wira berada di hadapan lensa, sebaliknya ada yang bergerak senyap, hadir ketika diperlukan dan beredar tanpa mengharapkan perhatian.
“Begitulah yang dapat saya lihat pada pasukan APM sebagai pasukan yang sentiasa siapsiaga setiap kali rakyat memerlukan sama ada dalam situasi bencana, kecemasan mahupun saat getir yang tidak dijangka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Ahmad Zahid, genap 74 tahun perjalanan APM hari ini menjadi bukti komitmen berterusan pasukan itu dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Katanya beliau menyaksikan sendiri dedikasi anggota APM yang turun ke lapangan membantu masyarakat tanpa banyak bicara, selain melaksanakan amanah dengan penuh disiplin dan kecekapan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga APM atas segala khidmat yang dicurahkan kepada rakyat dan negara.
“Selamat Hari Ulang Tahun APM ke-74. Teruskan berkhidmat dan berbakti untuk negara tercinta,” ujar beliau. – UMNO Online
