Rumah Terbuka Aidilfitri Pahang Himpun 20,000 Rakyat, Eratkan Silaturahim – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 23 Mac – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Sri Lanchang, Temerloh berlangsung dengan penuh meriah dan jayanya, sekali gus mencerminkan keharmonian serta semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran majlis berkenaan semalam bukan sahaja menjadi platform meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat dan kepimpinan negeri.
Menurut beliau, majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Patik dengan penuh takzim merafak sembah dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku-Tuanku berangkat mencemar duli, sekali gus menyerikan lagi majlis yang penuh keberkatan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kira-kira 20,000 penduduk yang hadir memeriahkan rumah terbuka berkenaan, sekali gus mencerminkan keutuhan perpaduan serta kasih sayang yang terjalin erat dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan urus setia dan petugas yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut, termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, Majlis Perbandaran Temerloh, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kesihatan serta semua agensi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Tambah beliau, penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri seperti ini diharap dapat terus menjadi wadah penyatuan ummah, menyemai semangat muafakat serta memperkukuh keharmonian demi kesejahteraan negeri Pahang Darul Makmur.
“Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam memperkukuh hubungan antara rakyat dan kerajaan negeri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri melalui gagasan ‘Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan’ dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.- UMNO Online
