Rais Sifatkan Rumah Terbuka Aidilfitri Satukan Masyarakat Setempat

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin menzahirkan rasa syukur atas sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri yang berlangsung meriah dan hangat, sekaligus mencerminkan ukhuwah serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut beliau, pada 2 Syawal yang penuh keberkatan itu, suasana rumah terbuka begitu gemilang dengan kehadiran ribuan tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat dan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus dari pagi hingga ke petang menambahkan keceriaan dan keterujaan majlis.

“Alhamdulillah, sejak dari pagi hingga ke petang kehadiran pengunjung tidak putus-putus. Teruja melihat ribuan tetamu hadir membawa senyuman, menyemarakkan lagi suasana penuh kegembiraan dan ukhuwah Aidilfitri,” kata beliau.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Di-Pertua Negeri Melaka dan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri, yang bersama-sama memeriahkan sambutan pada hari penuh bermakna itu.

Rais turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka yang meluangkan masa bagi memeriahkan majlis.

Beliau menambah, pelbagai juadah istimewa dihidangkan dan dinikmati bersama, bukan sekadar sebagai santapan, tetapi menjadi tali pengikat kasih sayang dan mengeratkan silaturahim antara masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati atas kehadiran semua yang sudi meluangkan masa, hadir bersama keluarga dan sahabat handai. Inilah keindahan sebenar Aidilfitri kita bertemua saling bermaafan, berkongsi kegembiraan dan memperkukuh ikatan persaudaraan,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO