Jadikan Aidilfitri Ruang Saling Memaafkan, Menyatu Hati – Azman Azeez
KUALA LUMPUR, 22 Mac – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Khairul Azman Abdul Azeez menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negara ini, khususnya rakyat Malaysia serta keluarga besar UMNO di seluruh negara.
Beliau berkata, sambutan Aidilfitri yang hadir selepas sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan detik yang amat bermakna untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya, Ramadan yang baru berlalu merupakan madrasah tarbiah yang mendidik umat Islam tentang kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan dalam beribadah.
“Semoga segala amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan diterima oleh Allah SWT dan Aidilfitri yang disambut ini menjadi ruang untuk kita saling memaafkan, mempereratkan silaturahim serta mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.
“Kehadiran Syawal bukan sekadar meraikan kemenangan selepas menunaikan ibadah puasa, sebaliknya menjadi peluang untuk memperbaharui tekad dalam membina masyarakat yang lebih harmoni, bersatu padu dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling menyeru masyarakat agar terus menghayati nilai kesederhanaan, kesyukuran serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam suasana kegembiraan menyambut lebaran.
Tambahnya, Aidilfitri juga wajar dijadikan pemangkin untuk memperbaharui tekad dan semangat bagi terus berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.
“Semoga Aidilfitri ini membawa keberkatan, kedamaian dan kekuatan baharu buat kita semua untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran negara.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” ujarnya. – UMNO Online
