Bila Hukum Jadi Pilih Kasih: UMNO Perlis Bidas Keras ‘Layanan Istimewa’ – Rozabil
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman mempertikai tindakan yang dilihat jelas menunjukkan layanan berbeza terhadap dua individu tertuduh ketika dibawa ke mahkamah.
Menerusi satu kenyataan di Facebooknya, beliau berkata, keadaan tersebut menimbulkan tanda tanya besar apabila seorang tertuduh dilihat digari manakala seorang lagi tidak, walaupun kedua-duanya berada dalam situasi yang sama sebagai tertuduh di mahkamah.
“Kenapa wujud perbezaan layanan ini? Apakah tujuan kehadiran Timbalan Menteri Undang-Undang mengiringi tertuduh? Bukankah kita patut mengamalkan konsep ‘without fear or favour’ terhadap mana mana tertuduh? Kehadiran seorang Timbalan Menteri yang mengurus portfolio undang-undang boleh ditafsirkan sebagai cenderung memihak kepada tertuduh.
“Malaysia sebagai negara demokrasi berlandaskan kedaulatan undang-undang sepatutnya adil untuk semua, bukan berat sebelah mengikut siapa. Apabila keadilan dipilih-pilih, kepercayaan terhadap undang-undang mula runtuh,” katanya.
Rozabil turut mengingatkan bahawa Malaysia sebagai negara demokrasi berlandaskan kedaulatan undang-undang tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk campur tangan atau persepsi campur tangan dalam sistem kehakiman.
“Perpisahan kuasa antara Kabinet, Perundangan dan Kehakiman yang jelas. Maka pemisahan kuasa ini harus jelas dan tegas dilaksanakan agar keadilan tidak mudah terjejas,” ujarnya.
Tambah beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau, undang-undang tidak boleh bersifat pilih kasih kerana keadilan yang berat sebelah hanya akan meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Bila hukum jadi pilih kasih, itu bukan lagi keadilan. Tiada ruang untuk dwi standard dalam masyarakat yang menghargai keharmonian antara kaum dan agama,” katanya lagi.
Ujarnya, dengan kehadiran seorang Timbalan Menteri Undang-Undang mengiringi tertuduh menimbulkan persepsi yang sangat tidak sihat terhadap prinsip keadilan negara.
“Saya berharap perkara ini dipandang serius dan pihak berkuasa harus tampil menjelaskan kenapa perkara ini berlaku,” tegasnya. – UMNO Online
