Seruan Kembali Kepada UMNO Wajar Disambut Secara Terbuka – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Seruan untuk kembali ke pangkuan UMNO wajar disambut dengan sikap terbuka oleh semua pihak, kata Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, seruan tersebut lahir daripada kesedaran bahawa parti ini adalah benteng terpenting kelangsungan bangsa Melayu sejak ditubuhkan.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, telah membuka ruang seluasnya untuk sesiapa sahaja yang telah meninggalkan UMNO supaya kembali ke pangkuan parti. Seruan tersebut wajar disambut dengan sikap terbuka oleh semua pihak.

“Seruan ini lahir daripada kesedaran bahawa UMNO bukan sekadar sebuah pergerakan politik. Ia adalah benteng terpenting kelangsungan bangsa Melayu. Sejak penubuhannya, UMNO berperanan sebagai wadah yang melindungi, memajukan dan menyatukan orang Melayu.

“UMNO adalah ‘rumah besar’ yang didirikan untuk melindungi dan memajukan bangsa. Ia bukan milik sesiapa secara peribadi, sebaliknya rumah untuk seluruh bangsa Melayu. Rumah ini telah lama menyediakan bumbung dan ruang untuk bangsa Melayu berteduh, berkehidupan serta membangun persaingan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, UMNO tetap berperanan dalam menjadi benteng yang melindungi dan memelihara maruah bangsa dalam apa jua keadaan.

“Dalam sebuah keluarga besar, perselisihan dan kekhilafan adalah sesuatu yang lumrah. Bumi mana yang tidak ditumpahi hujan, langit mana yang tidak menyaksikan mega mendung berarak. Namun, perselisihan tersebut tidak seharusnya menjadikan rumah ini dimusuhi. Di persadanya, kita semua pernah membesar, terdidik dan mendapat perlindungan.

“Hakikatnya, sekiranya UMNO diganti dengan rumah yang lain, ia tidak akan setanding, apatah lagi lebih baik. Hubungan UMNO dengan orang Melayu terlalu mendalam, bagai air yang dicincang tidak akan putus.

“UMNO juga merupakan pelantar yang menghubungkan sebuah penjajahan dengan sebuah kemerdekaan. Ia mengangkat sebuah bangsa daripada kemiskinan kepada bangsa yang sejahtera dan memuliakan Islam sebagai sebuah agama berkemajuan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru agar semua yang pernah bersama UMNO untuk kembali ke pangkuan parti demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

“Dalam segala kebaikan dan kekurangannya, UMNO tetap menjadi benteng yang melindungi serta memelihara maruah bangsa.

“Justeru, saya menyeru semua yang pernah bersama UMNO agar kembali ke pangkuan parti. Rumah ini masih kukuh, bayunya masih seperti dahulu, dan hujan rintik terus dihias pelangi jua. Kami yang tertinggal masih merindui semua kenangan dahulu sebagai sebuah keluarga,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO