Ahmad Zahid Zahir Dukacita Pemergian Ilmuwan Agung Syed Muhammad Naquib Al-Attas
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh ilmuwan Islam terkemuka negara, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia keilmuan Islam serta negara.
Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang sarjana dan pemikir agung yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang falsafah Islam, pendidikan serta pembangunan pemikiran dan peradaban Melayu-Islam.

“Saya menzahirkan rasa dukacita atas pemergian seorang tokoh ilmuwan Islam yang amat dihormati di negara ini, Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat dunia keilmuan Islam serta negara,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang hayatnya Allahyarham dikenali sebagai seorang ilmuwan yang tinggi adabnya serta mendalam ilmunya, selain banyak mencurahkan sumbangan kepada pembangunan tradisi keilmuan Islam di negara ini.
“Sepanjang hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang sarjana dan pemikir agung yang telah mencurahkan sumbangan besar dalam bidang falsafah Islam, pendidikan serta pembangunan pemikiran dan peradaban Melayu-Islam. Karya-karya dan gagasan beliau terus menjadi rujukan dalam dunia akademik hingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Allahyarham adalah seorang ilmuwan yang tinggi adabnya, mendalam ilmunya serta besar jasanya dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam. Sumbangan beliau akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian kehilangan ini.
Sama-sama kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya lagi.
Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, dilapor meninggal dunia petang semalam dan akan disolatkan di Masjid al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. – UMNO Online
