Penyatuan Tanpa Syarat Kepada Bekas Ahli, Langkah Matang Kukuh Keluarga Besar UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat menyambut baik hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada semua bekas ahli dan individu yang ingin kembali bersama perjuangan UMNO.

Beliau berkata semangat yang dibawa ini amat bertepatan dengan keberkatan bulan Ramadan yang mengajak kita bermuhasabah, memperbaiki hubungan serta memperkukuhkan ukhuwah sesama kita.

“UMNO sebagai sebuah parti besar yang menjadi tunjang perjuangan orang Melayu dan Bumiputera sentiasa terbuka untuk merapatkan kembali saf perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“Usaha membuka pintu Rumah Bangsa ini adalah langkah matang dan bijaksana bagi memperkukuhkan kembali kesatuan keluarga besar UMNO,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau ini kerana kekuatan parti bukan hanya terletak pada struktur organisasi semata-mata, tetapi pada kesatuan hati, kesetiaan serta semangat kebersamaan seluruh ahlinya.

“Saya percaya usaha ini mampu menjadi titik permulaan kepada penyatuan yang lebih kukuh dan memberi kekuatan baharu kepada UMNO dalam menghadapi cabaran masa depan serta meneruskan agenda membela rakyat.

“Semoga segala usaha murni ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan menjadi jalan untuk kita memperkukuhkan kembali perjuangan parti demi kestabilan dan kemakmuran negara,” ujar beliau.

Terdahulu Ahmad Zahid memaklumkan UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti.

Beliau berharap usaha berkenaan dipermudah dan menjadi titik penyatuan untuk memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO