Iftar UMNO Baling Perkukuh Perpaduan, Kebersamaan – Azeez

KUALA LUMPUR, 6 Mac – UMNO Bahagian Baling terus memperkukuh perpaduan dan kesepaduan jentera parti menerusi perjumpaan bersama ketua-ketua cawangan serta empat sayap di peringkat cawangan yang diadakan di Dataran Rakyat Baling, Kampung Teluk Durian.

Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk menyelaras gerak kerja organisasi serta membincangkan pelbagai perancangan bagi memastikan kekuatan parti di peringkat akar umbi terus diperkasakan.

Menurut beliau, kerjasama erat antara kepimpinan bahagian dan cawangan amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun demi masa depan UMNO yang lebih kukuh di Baling.

“Seperti mana lazimnya, perjumpaan seperti ini menjadi agenda rutin kepimpinan bahagian dan cawangan berbincang untuk memperkukuh gerak kerja organisasi, menyelaras perancangan dan mengambil tindakan segera untuk masa depan UMNO yang lebih mantap di bumi bertuah Baling,” katanya.

Katanya lagi perjumpaan berkenaan turut memperlihatkan komitmen tinggi kepimpinan dan ahli parti untuk terus memperkukuh organisasi serta mengekalkan semangat perjuangan dalam kalangan jentera parti.

Program berkenaan kemudian diteruskan dengan majlis Iftar Jama’ie yang berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh makna, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kepimpinan dan ahli parti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO