Santunan Kasih Ramadan… UMNO Jempol Serlah Kepedulian

JEMPOL, 5 Mac – EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor, terus komited menyantuni rakyat apabila lebih 1,000 warga menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan yang berlangsung di Dewan Seri Fazidah, dekat sini.

Majlis berkenaan turut diraikan bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii sebagai tanda sokongan dan komitmen berterusan dalam membantu golongan memerlukan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Dalam program tersebut, seramai 200 penerima yang terdiri daripada 100 asnaf dan 100 anak yatim menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM20,000. Golongan asnaf turut menerima bakul makanan sebagai persiapan menyambut Syawal yang bakal tiba.

Menurut Mustapha, penganjuran program seumpama itu mencerminkan semangat sebenar Ramadan yang menuntut umat Islam berkongsi rezeki, mengeratkan silaturahim serta memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus kebajikan.

“Ramadan adalah bulan untuk kita memperbanyakkan amalan kebajikan dan menyantuni mereka yang memerlukan. Semoga usaha ini memberi makna besar kepada para penerima dan mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh atas kesudian hadir serta menaja keseluruhan program berkenaan.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu jelas membuktikan hubungan erat antara UMNO Jempol dan masyarakat setempat yang terus diperkukuh melalui pendekatan kebajikan dan kebersamaan.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO