Program Bubur Lambuk Perdana ADUN Behrang Meriah, Erat Silaturahim
SLIM RIVER, 5 Mac – Program Bubur Lambuk Perdana yang dilaksanakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin telah berlangsung dengan lancar semalam dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan sempena bulan Ramadan.
Ujarnya, program yang diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan umur jelas mencerminkan semangat muafakat dan kemeriahan Ramadan dalam komuniti setempat.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa syukur atas kelancaran program yang dianjurkan buat julung kalinya itu.
“Alhamdulilah Program Bubur Lambuk Perdana ADUN Behrang berjalan dengan lancar semalam. Seronok melihat kehadiran masyarakat setempat yang datang mendapatkan bubur lambuk sambil singgah di Jualan Sejahtera Rakyat dan FAMA yang turut diadakan di sini. Ada yang datang bersama keluarga, ada juga yang singgah sekejap sebelum pulang untuk membuat persiapan berbuka,” katanya.
Beliau turut menyifatkan momen seperti itu sebagai sesuatu yang amat bermakna kerana memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.
“Momen begini cukup bermakna. Dapat bertemu, bertanya khabar dan melihat sendiri suasana masyarakat di bulan Ramadan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, termasuk para sukarelawan dan petugas yang bertungkus-lumus memastikan segala persiapan berjalan lancar.
“Terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan program ini. Semoga setiap kebaikan dan usaha yang dilakukan hari ini menjadi amal yang diberkati serta diganjari pahala oleh Allah SWT,” katanya.
Program tersebut bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah mengukuhkan lagi hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni dan kebersamaan. – UMNO Online
