Pemuda UMNO Sembrong Erat Ukhuwah Ramadan Bersama Masyarakat Setempat
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Semangat gotong-royong dan kebersamaan menjadi tunjang utama kepada aktiviti yang dilaksanakan oleh Ketua Pemuda UMNO Sembrong, Hafiz Ariffin, bersama barisan kepimpinan Pemuda di kawasan itu dalam menyantuni masyarakat sepanjang bulan Ramadan ini.
Pelbagai program diatur termasuk ziarah rumah ke rumah, penyediaan serta agihan bubur lambuk, dan aktiviti komuniti yang memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan penduduk setempat.
Menurut Hafiz, aktiviti seperti ini bukan sahaja menghidupkan tradisi turun padang, tetapi juga menjadi wadah mendekatkan jentera parti dengan rakyat dalam suasana penuh keberkatan.
“Selain ziarah rumah ke rumah, saya dan kawan-kawan juga sempat bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat. Kali ini kami buat di Taman Puteri dan Kahang… suasananya memang meriah, tukang masak dan tukang ‘godak’ pun ada ala-ala Khairul Aming,” katanya sambil tersenyum.
Tambah beliau, semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh anak muda serta masyarakat setempat mencerminkan nilai sebenar perjuangan UMNO yang sentiasa berpaksikan kepada rakyat.
“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti rutin Ramadan, tetapi simbol kebersamaan kita sebagai satu keluarga besar — saling membantu, berkongsi rezeki dan mengeratkan ukhuwah tanpa mengira latar belakang. Inilah semangat yang harus terus dipupuk dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera Pemuda UMNO Sembrong, kepimpinan kampung serta penduduk setempat yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan setiap inisiatif yang dilaksanakan.
“Insya-Allah, kita akan teruskan usaha seperti ini di lokasi lain sepanjang Ramadan agar manfaatnya dapat dirasai lebih ramai penduduk,” tambah Hafiz.- UMNO Online
