Kerajaan Komited Perkukuh Pembangunan Industri Perabot, Perkasa Nama Malaysia Di Persada Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kerajaan komited untuk terus memperkukuhkan pembangunan industri perabot negara ke arah penghasilan produk bernilai tambah tinggi di samping memperkasa jenama Malaysia di persada antarabangsa.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah merasmikan Export Furniture Exhibition (EFE) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

“Hari ini saya berkesempatan merasmikan EFE 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Suasana dewan pameran cukup meriah dengan penyertaan pemain industri perabot tempatan dan antarabangsa.

“Setiap reruai menampilkan kreativiti, inovasi dan kehalusan mutu kerja yang membanggakan. Jelas sekali industri perabot negara semakin matang dan berdaya saing di peringkat global.

“Selaras dengan aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2030, kerajaan komited untuk terus memperkukuh pembangunan industri ini ke arah penghasilan produk bernilai tambah tinggi dan memperkasa jenama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata, industri perabot negara mampu melangkah lebih jauh dengan memberi penekanan kepada inovasi, reka bentuk kreatif dan strategi penjenamaan lebih agresif.

“Saya percaya dengan penekanan kepada inovasi, reka bentuk kreatif dan strategi penjenamaan yang lebih agresif, industri ini mampu melangkah lebih jauh.

“Penganjuran EFE yang bermula sejak 2005 kini berkembang menjadi antara pameran perabot terpenting di rantau ini. Kehadiran pembeli dan pelawat dari pelbagai negara membuktikan bahawa Malaysia semakin diiktiraf sebagai hab perabot berkualiti tinggi.

“Turut hadir Datuk Larry Sng Wei Shien, Pengerusi Malaysian Timber Industry Board (MTIB), Noraihan Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Timber Council (MTC), Desmond Tan, Presiden Malaysian Furniture Council (MFC) dan Chua Chun Chai, Pengerusi EFE Expo Sdn Bhd,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO