Sharif Musa Tegaskan Kesetiaan Dalam Perjuangan UMNO Terus Kukuh Di Sabah

LAHAD DATU, 4 Mac – UMNO terus komited memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara di Sabah, kata Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul.

Menurut beliau, UMNO sebagai sebuah parti politik yang berteraskan perjuangan Melayu dan Bumiputera sentiasa konsisten membela kepentingan Islam sebagai agama rasmi negara, mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera, serta memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus diperkasa.

“UMNO di Sabah bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi wadah perjuangan yang membawa aspirasi agama, bangsa dan negara. Kita membela Islam sebagai agama rasmi, mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk asal, serta memperjuangkan kemajuan negeri Sabah secara menyeluruh,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Sharif Musa menegaskan bahawa sepanjang sejarah politik negeri, UMNO telah memainkan peranan penting dalam landskap pembangunan dan kestabilan politik, termasuk dalam usaha memperkukuh perpaduan serta memperjuangkan hak rakyat di peringkat negeri dan Persekutuan.

Namun begitu, beliau mengakui setiap perjuangan tidak terlepas daripada cabaran dan kritikan.

“Pembelaan dan kritikan itu adalah sebahagian daripada proses perjuangan yang perlu kita hadapi. Sebagai pemimpin di peringkat bahagian, apatah lagi di peringkat atasan, kita harus sentiasa peka dan matang dalam mendepani segala cabaran ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang meninggalkan parti apabila gagal memperoleh jawatan yang diinginkan.

“Sedih dan tidak wajar apabila jawatan yang kita hasratkan tidak tercapai, lalu UMNO ditinggalkan begitu sahaja. Perjuangan ini bukan soal kedudukan, tetapi soal amanah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” tegasnya.

Sharif Musa turut mengingatkan bahawa setiap perpecahan dalam parti akan meninggalkan kesan yang mendalam.

“Pemimpin yang kami kasihi, apabila perjuangan itu tercalar, parutnya tidak akan hilang selama-lamanya. Justeru, kita perlu memelihara kesatuan dan kesetiaan dalam parti demi masa depan Sabah dan generasi akan datang,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh ahli UMNO khususnya di Lahad Datu agar terus istiqamah, memperkukuh saf perjuangan dan meletakkan kepentingan parti serta rakyat mengatasi kepentingan peribadi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO