Ziarah Kasih Ramadan UMNO Labuan Santuni 320 Penerima, Ringankan Beban Penerima

LABUAN, 3 Mac – Program Ziarah Kasih Ramadan anjuran UMNO Bahagian Labuan diteruskan lagi tahun ini dengan menyasarkan seramai 320 penerima di seluruh pulau ini, sekali gus membantu meringankan beban golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, program yang memasuki edisi ke-18 itu dilaksanakan menerusi gerakan Zon-Zon dan UMNO Cawangan bagi memastikan sumbangan sampai kepada penerima yang layak.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, program berkenaan telah bermula dengan pelaksanaan di Zon 1 dan Zon 3 yang masing-masing diketuai oleh Datuk Khalid Abd Ghani dan Saudara Ismail Samad.

“Alhamdulillah, Program Ziarah Kasih Ramadan ini dapat diteruskan lagi pada tahun ini. Saya berharap sumbangan zakat keluarga saya ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pegangan hidup yang diamalkan ialah setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT perlu dikongsi bersama mereka yang memerlukan.

“Selagi Allah mengurniakan rezeki kepada kita, sebahagiannya wajib kita kembalikan kepada mereka yang memerlukan. Tidak semua rezeki yang datang itu milik kita, ada yang Allah kirimkan melalui kita untuk orang lain,” ujarnya.

Jelasnya, Program Ziarah Kasih Ramadan ini mula diperkenalkan beliau sejak diberi amanah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 2008 dan diteruskan sehingga kini sebagai komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat di Labuan.

Dalam pada itu, Mohd Rafi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan, jentera dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan program berkenaan berjalan lancar demi manfaat golongan sasaran. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO