‘Pijak Al-Quran Penghinaan Melampau Terhadap Agama Islam’

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Safwan Jaafar mengecam tindakan biadab memijak al-Quran sambil menyifatkannya sebagai penghinaan melampau terhadap agama Islam di negara ini.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar berkata perbuatan tersebut bukan sekadar menyentuh sensitiviti agama, malah mencabar kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

“Perbuatan ini adalah satu penghinaan paling melampau terhadap agama Islam dan satu provokasi keterlaluan terhadap umat Islam di negara ini.

“Kami menegaskan bahawa tindakan sebegini bukan sekadar isu sensitiviti agama, tetapi satu perbuatan yang mencabar kedaulatan undang-undang dan keharmonian negara.

“Jangan ada mana-mana pihak yang berani menguji kesabaran umat Islam dengan tindakan yang menghina dan memperlekehkan kitab suci kami,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya lagi tindakan undang-undang yang diambil hendaklah dilaksanakan secara tegas dan tanpa kompromi agar menjadi suatu pengajaran yang jelas kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi berunsur keagamaan.

“Siasatan mesti dipercepatkan dan hukuman setimpal perlu dikenakan agar menjadi pengajaran keras kepada sesiapa sahaja yang cuba mencetuskan provokasi agama.

“Kami memberi amaran keras bahawa isu penghinaan terhadap agama tidak boleh dipandang ringan. Kegagalan mengambil tindakan tegas hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak tindakan melampau pada masa akan datang.

“Pemuda UMNO Negeri Kedah akan terus berdiri di barisan hadapan mempertahankan kesucian Islam dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap Al-Quran.

“Agama bukan bahan permainan. Maruah Islam bukan untuk dipijak,” ujar beliau.

Terbaharu seorang penuntut lelaki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditahan untuk siasatan berhubung kes memuat naik gambar memijak al-Quran tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan bagi pertuduhan pada hari ini.

Lelaki tersebut ditahan pada 25 Februari lalu kerana memuat naik gambar memijak al-Quran melalui akaun Threads miliknya.

Sebanyak 82 laporan polis diterima dari seluruh negara berkaitan isu tersebut dan 43 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO