Jangan Politikkan Ekonomi Melaka, Hentikan Retorik Demi Rakyat – Asyraf Zainal

MELAKA, 3 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Asyraf Zainal, menegur kenyataan pihak tertentu yang disifatkan kurang tepat berhubung hala tuju pembangunan negeri Melaka.

Menurut beliau, dakwaan yang mempersoalkan pendekatan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan itu tidak mengambil kira realiti sebenar struktur ekonomi Melaka serta keperluan strategik negeri berkenaan dalam merancakkan pertumbuhan jangka panjang.

“Saya memilih untuk berhusnuzon. Namun husnuzon tidak bermaksud kita perlu menutup mata terhadap kenyataan yang terlalu bersifat persepsi dan tidak berpijak pada realiti ekonomi Melaka. Melaka bukan negeri industri berat, bukan negeri sumber asli, dan bukan negeri luas tanahnya. Melaka hidup dan berkembang kerana nilai sejarah, budaya dan pelancongan. Itu fakta, bukan sentimen.

“Kerajaan Negeri bukan ‘memuja pelancong’, tetapi memanfaatkan kelebihan sedia ada untuk menjana ekonomi. Sektor pelancongan ini memberi limpahan ekonomi hiliran yang besar kepada peniaga kecil, hotel, restoran, pemandu e-hailing, penjaja, pengusaha homestay dan ramai lagi rakyat biasa. Ini yang dinamakan ekonomi rakyat biasa dan ini yang dinamakan ekonomi rakyat.

“Data rasmi Kementerian Ekonomi menunjukkan ekonomi Melaka berkembang 4.4 peratus pada tahun 2024, dengan KDNK bernilai RM48.9 bilion. Pendapatan per kapita meningkat kepada RM54,553. Sektor perkhidmatan (termasuk pelancongan) menyumbang lebih 51 peratus ekonomi negeri dan kadar pengangguran Melaka 2.2 peratus, lebih rendah daripada purata nasional,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka menjelaskan jika data ini dianggap tidak sah, maka Pulau Pinang juga tidak sepatutnya menggunakan data Kementerian yang sama.

“Persoalannya, data mana sebenarnya yang sebenarnya mahu pakai?”

Seterusnya beliau mempertikai cadangan bahawa Melaka perlu membina ekonomi inovasi dan industri bernilai tinggi, seolah-olah Kerajaan Negeri hari ini tidak buat apa-apa selain pelancongan. Ini gambaran yang tidak adil dan tidak tepat.

“Kerajaan Negeri sedang mengusahakan penubuhan Zon Ekonomi Anjung Selatan (ZEAS) melalui kerjasama Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Ia satu langkah strategik untuk menarik pelaburan bernilai tinggi secara serantau. Perancangan ini telah menerima maklum balas positif dan bengkel khusus dijadualkan pada 2025 lepas.

“Selain itu, perancangan pembangunan pusat data di Telok Gong bagi menyokong pembangunan AI juga sedang dipertimbangkan. Namun saya sendiri bersikap jujur bahawa pusat data mungkin tinggi nilai FDI nya, tetapi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan adalah kecil, sedangkan penggunaan air dan tenaga sangat besar. Dalam hal ini, Melaka wajar mengambil contoh pengalaman Johor.

“Sebenarnya banyak lagi inisiatif lain bagi merancakkan ekonomi Melaka selain pelancongan. Persoalannya, adakah semua ini masih mahu dikatakan Kerajaan Negeri tidak cakna, tidak berfikir jauh dan tiada pelan ekonomi alternatif,” katanya lagi.

Bidasnya lagi, kritikan dialu-alukan, tapi mesti berasaskan fakta, kefahaman struktur negeri dan realiti ekonomi, bukan sekadar slogan politik untuk tajuk berita.

“Melaka tidak perlukan retorik. Melaka perlukan solusi,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO