IPU, CPA Platform Perkukuh Peranan Parlimen Malaysia Di Peringkat Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Inter-Parliamentary Union (IPU) Kumpulan Malaysia dan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) Cawangan Malaysia menjadi medan penting dalam memperkukuh peranan serta penglibatan Ahli Parlimen Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Awang Bemee Awang Ali Basah selaku Yang Dipertua Dewan Negara.

“Pertemuan ini memberi ruang kepada kami untuk membincangkan beberapa perkara penting berkaitan peranan dan penglibatan ahli Parlimen Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Sebagai wakil negara, tanggungjawab ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan amanah besar untuk memastikan kepentingan Malaysia sentiasa diperjuangkan, khususnya dalam isu-isu berkaitan pembangunan, perdagangan dan kelestarian yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menegaskan bahawa perbincangan yang berlangsung dalam mesyuarat tersebut amat konstruktif, dengan komitmen semua pihak untuk memperkukuh kerjasama di samping mempertingkat keberkesanan penyertaan Malaysia dalam persidangan dan inisiatif antarabangsa.

Menurut beliau lagi, penyelarasan yang baik antara Ahli Parlimen dan semangat kebersamaan amat penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Saya percaya melalui komitmen berterusan dan kesepaduan dalam kalangan wakil rakyat, kita mampu memperkasakan lagi diplomasi Parlimen Malaysia serta memperluas jaringan kerjasama strategik demi kepentingan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, segala keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan diharap dapat diterjemahkan secara efektif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh reputasi Malaysia sebagai negara yang komited terhadap prinsip demokrasi, kerjasama antarabangsa dan keamanan sejagat. – UMNO Online
