Semangat Sukarelawan Muda Ceriakan Ramadan, Mohd Razlan Puji Keikhlasan

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Ramadan kali ini menjadi lebih indah apabila masyarakat dapat menunaikan ibadah dengan penuh kesungguhan, hati yang tenang, dan jiwa yang semakin dekat kepada Allah SWT, sambil turut membantu mereka yang memerlukan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata demikian ketika menghadiri majlis bersama lebih 100 orang sukarelawan muda dari Persatuan Kebajikan Kolar Putih yang aktif dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan.

Menurut beliau, NGO berkenaan kini memasuki tahun keenam mereka konsisten menyumbang di kawasan bandar, dan usaha berterusan itu amat mengagumkan.

“Keikhlasan dalam menyumbang akan menghadirkan satu rasa yang sempurna dalam jiwa kita dengan rasa syukur, rasa cukup, dan rasa bahagia yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit,” kata Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh.

Beliau juga mendoakan, semoga usaha murni para sukarelawan terus diberkati Allah SWT, dipermudahkan segala urusan, dan menjadi asbab kebaikan yang berpanjangan untuk mereka yang disantuni.

“Semoga usaha murni ini terus diberkati Allah SWT, dipermudahkan segala urusan, dan menjadi asbab kebaikan yang berpanjangan buat para sukarelawan serta mereka yang disantuni.

“Moga Ramadan ini juga bukan sahaja menguatkan hubungan kita dengan Allah tetapi juga mengeratkan kasih sayang sesama manusia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO