Rumah Sebagai Amanah, Mohd Jafni Tegaskan Komitmen Pastikan Kebajikan Rakyat Terpelihara
KULAI, 2 Mac – “Kesejahteraan rakyat bukan sekadar dasar, tetapi amanah yang mesti ditunaikan.”
Demikian penegasan Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor ketika menyempurnakan penyerahan Rumah Kasih Johor (Rumah Percuma) kepada empat keluarga penerima di daerah ini baru-baru ini.
Menurut beliau, setiap inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bukan bertujuan meraih pencapaian semata-mata, sebaliknya lahir daripada tanggungjawab untuk memastikan kebajikan Bangsa Johor sentiasa terbela.

Katanya, sebuah rumah bukan hanya struktur fizikal, tetapi asas kepada kestabilan hidup, maruah dan masa depan sesebuah keluarga.
“Inisiatif Rumah Percuma Johor atau Rumah Kasih Johor ini merupakan komitmen jelas Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan bahawa kesejahteraan Bangsa Johor mesti bermula daripada asas paling penting iaitu tempat berteduh yang sempurna,” katanya.
Jelas Mohd Jafni, sehingga Januari 2025, seramai 393 keluarga Bangsa Johor telah menerima manfaat rumah percuma, meliputi pelbagai daerah termasuk Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar, Pontian, Kulai, Kluang, Segamat, Mersing, Johor Bahru dan Tangkak.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa agenda perumahan rakyat negeri Johor dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja.
“Pada asalnya, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran 500 unit Rumah Kasih Johor sehingga tahun 2026. Namun, atas keprihatinan kepimpinan negeri, jumlah itu ditingkatkan kepada 700 unit bagi memastikan lebih ramai rakyat yang benar-benar memerlukan tidak terpinggir daripada peluang memiliki kediaman sendiri.
“Pelaksanaan program ini disusun secara berfasa dengan 50 unit disiapkan pada 2023, 120 unit pada 2024, 165 unit pada 2025 dan 365 unit menjelang 2026, melibatkan keseluruhan peruntukan sekitar RM96.5 juta. Skala ini membuktikan bahawa agenda perumahan rakyat bukan bersifat simbolik, tetapi dasar kebajikan yang dirancang rapi dan berimpak besar.”

Jelasnya, Kerajaan Negeri turut menambah baik syarat kelayakan dengan meningkatkan paras garis kemiskinan per kapita kepada sekitar RM850, selain memberi kelonggaran dari segi status tanah keluarga dan pertimbangan kes khas di luar senarai eKasih yang mempunyai justifikasi kukuh.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kejayaan program ini adalah hasil sinergi pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah, ADUN kawasan, agensi teknikal serta komuniti setempat yang bersama-sama menjayakan agenda kebajikan negeri.
“Bagi kami, kesejahteraan rakyat bukan sekadar dasar di atas kertas. Ia adalah amanah yang mesti ditunaikan dengan tindakan, keikhlasan dan kesungguhan,” katanya lagi. – UMNO Online
