Retreat BN Perkukuh ‘Rumah Bangsa’, Rais Seru Kesetiaan Dan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Timbalan Pengerusi UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) akan terus kekal sebagai ‘rumah bangsa’ yang menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Menurut beliau, BN bukan sekadar sebuah gabungan politik, sebaliknya sebuah wadah perjuangan yang dibina dengan keringat, pengorbanan dan semangat kebersamaan sejak sekian lama.
“BN adalah ‘rumah bangsa’ yang terbukti membawa kemenangan, membentuk jati diri kepimpinan serta menjadi tempat rakyat meletakkan harapan. Segala kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha dan legasi kepimpinan BN,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu beliau berkongsi Retreat Kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Sri Satria pada Sabtu bersama kepimpinan BN Melaka di bawah pimpinan Pengerusi BN Negeri berkenaan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Rais seterusnya menjelaskan, sebagaimana sebuah ‘rumah’ yang telah berdekad lamanya berdiri, pasti ada waktu ia kelihatan usang, ada dinding yang retak dan tiang yang perlu diperkuatkan semula.
“Namun, itu bukan alasan untuk meninggalkannya. Jangan sesekali kita terfikir untuk meninggalkan rumah ini hanya kerana ia sedang diuji. Rumah yang pernah menyatukan kita sebagai ‘adik-beradik’ jangan sesekali kita robohkan hanya kerana ribut melanda,” tegas beliau.
Tambahnya, tanggungjawab seluruh kepimpinan dan ahli adalah untuk memperbaiki serta memperkukuhkan setiap kelemahan yang ada demi memastikan BN terus utuh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Beliau turut menyeru agar kesempatan melalui retreat tersebut dimanfaatkan untuk bermuhasabah, memperkukuh perpaduan dan menyusun langkah strategik demi memastikan BN kekal relevan serta terus menjadi pelindung rakyat.
“Tiada salah berbeza pandangan. Cabaran dan ujian bukan untuk melemahkan kita. Selagi kita memilih untuk membina hidup bersama, selagi itu ‘rumah bangsa’ ini akan terus menjadi tempat kita kembali bermuafakat,” ujarnya lagi.
Rais yakin dengan keikhlasan, istiqamah dan tekad yang jitu, BN akan terus kekal sebagai rumah perjuangan yang menyatukan, menguatkan dan membawa kemenangan demi rakyat serta negara.- UMNO Online
.
