Puteri UMNO Perkemas Gerak Kerja 2026, Tekankan Pengukuhan Organisasi
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan memperkemaskan hala tuju gerak kerja tahun 2026 secara lebih tersusun dan berfokus, selaras dengan keutamaan parti serta perkembangan semasa politik tanah air.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang berlangsung baru-baru ini dengan mengambil kira intipati perbincangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan sebelum ini.

Setiausaha Puteri UMNO Malaysia, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan setiap gerak kerja dilaksanakan secara berdisiplin dan teratur.
Maklumnya, mesyuarat juga bersetuju agar perancangan 2026 disusun secara lebih rapi dengan penekanan terhadap pengukuhan organisasi, keselarasan penyampaian dan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat.
“Puteri UMNO akan terus memperkukuh saf organisasi, menyelaras gerak kerja dan memastikan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat demi menghadapi cabaran politik 2026 dengan penuh keyakinan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Menurut beliau, selaras dengan penetapan jadual Persidangan Tahunan UMNO 2026, persediaan di peringkat cawangan, bahagian dan negeri akan digerakkan lebih awal mengikut tatacara yang ditetapkan bagi menjamin kelancaran pelaksanaan.
“Tahun 2026 juga bakal menjadi detik bersejarah apabila parti menyambut Ulang Tahun UMNO ke-80 di peringkat nasional, selain Ulang Tahun ke-25 penubuhan Puteri UMNO.
“Sambutan ini bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi mencerminkan kematangan gerakan serta tanggungjawab yang semakin besar sebagai sayap wanita muda parti untuk terus menyumbang secara teratur dan berintegriti,” ujarnya.
Beliau menegaskan, Puteri UMNO akan terus merapatkan barisan akar umbi serta mengangkat suara wanita muda secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan parti kekal relevan serta diyakini dalam mendepani cabaran mendatang. – UMNO Online
