Pijak Al-Quran: Jangan Tunduk Tekanan Mana-Mana Pihak, Fariz Hazurin Gesa Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail menegaskan tindakan terhadap individu yang memijak al-Quran bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu kewajipan moral dan politik.

Menurutnya, rakyat sedang memerhati sejauh mana kerajaan berani bertindak tanpa pilih kasih dan tanpa tunduk kepada tekanan mana mana pihak.

Katanya, kelewatan atau kelembutan dalam penguatkuasaan hanya akan menimbulkan persepsi bahawa isu penghinaan agama tidak diberi keutamaan sewajarnya.

“Kerajaan harus memastikan siasatan dijalankan secara pantas dan hasilnya diumumkan secara telus kepada umum. Undang-undang mesti dikuatkuasakan dengan konsisten agar tidak timbul tanggapan bahawa wujud layanan berbeza berdasarkan kedudukan atau kepentingan tertentu.

“Saya menyeru umat Islam agar mengekalkan ketenangan dan tidak terjerumus dalam tindakan di luar batas perundangan. Namun ketenangan rakyat tidak boleh disalah tafsir sebagai kelemahan. Maruah agama adalah asas yang tidak boleh diperdagangkan dalam mana-mana percaturan politik.

“Saya akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang dalam memastikan kerajaan bertindak selari dengan kehendak rakyat serta mempertahankan kesucian Islam dengan tegas dan bermaruah,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Fariz yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang menjelaskan insiden penghinaan terhadap kesucian Al-Quran baru-baru ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam serta menggugat sensitiviti masyarakat.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja satu penghinaan terhadap agama Islam, malah memperlihatkan kegagalan kawalan dan pencegahan yang sepatutnya dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Sebagai kerajaan yang mentadbir negara dengan Islam sebagai agama Persekutuan, kepimpinan hari ini tidak boleh bersikap defensif atau mengambil pendekatan sambil lewa dalam menangani isu seumpama ini,” katanya.

Ujarnya lagi, ketegasan kerajaan dalam mempertahankan maruah agama akan menjadi kayu ukur kepada tahap komitmen sebenar mereka terhadap prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO