Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat MARA: Bina Generasi Kukuh Pegangan Iman, Berakhlak Mulia
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuktikan bahawa organisasi tersebut mampu untuk membina generasi yang kukuh pegangan iman dan berakhlak mulia.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, perkara tersebut menjadi tunjang kekuatan dan kecemerlangan MARA selama enam dekad.

“Saya telah menghadiri Perhimpunan Gen Huffaz Teknokrat MARA sempena Sambutan 60 Tahun MARA bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Berteraskan penghayatan al-Quran melalui tadarus dan qiamullail, program ini membuktikan bahawa MARA bukan sekadar melahirkan golongan profesional dan teknokrat, malah membina generasi yang kukuh pegangan iman serta berakhlak mulia. Inilah kekuatan sebenar yang menjadi tunjang kecemerlangan MARA sejak enam dekad lalu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berharap agar MARA terus melakar kecemerlangan dan membina legasi yang diberkati.

“Melihat ribuan anak muda berhimpun dengan semangat cinta al-Quran memberi saya keyakinan bahawa masa depan negara ini berada di tangan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berjiwa besar dan berpaksikan nilai.
“Selamat ulang tahun ke-60 buat MARA. Semoga terus melakar kecemerlangan dan membina legasi yang diberkati untuk tanah air tercinta, insya-Allah,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau juga berberkesempatan menghadiri Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana Wanita UMNO Wilayah Persekutuan 2026 yang berlangsung di Masjid Negara.

“Program dihadiri oleh hampir 400 orang peserta berbaju serba putih dengan satu niat sama, mengimarahkan bulan Ramadan dengan alunan ayat-ayat suci. Bacaan doa, sesi tadarus dan khatam dipimpin dengan penuh tertib oleh Ustazah Maskina dan Ustazah Lailasari.
“Majlis turut diserikan dengan penyampaian bantuan keperluan asas kepada golongan asnaf yang dipilih daripada setiap bahagian. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan berkongsi dan menyantuni mereka yang memerlukan.
“Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Nora’shekin Yusof, Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan serta seluruh saf kepimpinan yang telah mengambil inisiatif menganjurkan program ini dan memastikan segala urusan berjalan lancar.
“Semoga usaha murni ini terus menyuburkan semangat kebersamaan dan menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna buat kita semua,” katanya lagi. – UMNO Online
