KUSKOP Sedia Akses Pembiayaan Perkasa Usahawan Industri Keropok
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Mohamad Alamin memaklumkan kementerian sentiasa bersedia untuk menyokong aspek pembangunan usahawan selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ia dilakukan melalui penyediaan akses kepada pembiayaan, program bimbingan dan latihan serta inisiatif peningkatan kapasiti bagi membantu usahawan terlibat meningkatkan produktiviti, kualiti produk dan daya saing perniagaan
“Ia seiring dengan penekanan KUSKOP melalui strategi ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang menjadi teras dalam melaksanakan inisiatif keusahawanan secara komprehensif dan pantas,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menjawab Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkenaan langkah menaik taraf infrastruktur IKS berasaskan ikan seperti industri keropok, satar dan produk sejuk beku di Kelantan dan hab industri makanan berasaskan ikan Pantai Timur di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab kepada persoalan tersebut kata beliau cadangan menaik taraf infrastruktur Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan ikan seperti industri keropok, satar dan produk sejuk beku di Kelantan khususnya di Tumpat adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain, terutama yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur dan industri asas tani.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kimanis itu berkata dalam konteks daerah Tumpat yang terkenal dengan industri berasaskan ikan seperti keropok, satar dan produk sejuk beku, KUSKOP sedia membantu usahawan yang berpotensi melalui penyediaan akses kepada pembiayaan melalui agensi seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Bank dan Bank Rakyat.
“Ia bagi membolehkan usahawan memperoleh mesin pemprosesan, peti sejuk beku, serta menaik taraf premis dan kemudahan penyimpanan; program bimbingan dan latihan melalui SME Corp. dan INSKEN bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, kualiti produk dan aspek pembungkusan.
“Ini termasuk sokongan akses pasaran dan pemasaran, termasuk penyertaan dalam ekspo, program pemadanan perniagaan dan penggunaan platform digital bagi membantu usahawan memperluas pasaran,” ujar beliau.
Katanya lagi, KUSKOP melalui Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) telah mengiktiraf keropok lekor sebagai produk SDSI yang berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan komuniti melalui pembangunan industri berasaskan keunikan dan kekuatan produk tempatan.
Sementara beliau turut memaklumkan cadangan mewujudkan hab industri makanan berasaskan ikan Pantai Timur memerlukan penelitian lanjut oleh kementerian dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan kesesuaian, keperluan dan impak pelaksanaan kepada ekosistem industri setempat.
“Bagi cadangan mewujudkan skim pembiayaan mikro khas berasaskan komuniti nelayan, sehingga kini tiada skim khusus yang disediakan oleh agensi pembiaya di bawah KUSKOP.
“Walau bagaimanapun, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia pada tahun 2025 telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM205,000 kepada tujuh orang usahawan yang terlibat dalam aktiviti berkaitan industri hasil laut di kawasan Tumpat, sebagai sokongan kepada pembangunan perniagaan komuniti setempat,” katanya lagi. – UMNO Online
