Kesucian Islam, Al-Quran Wajib Dipertahankan – Wan Rosdy
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa kesucian agama Islam dan al-Quran wajib dipertahankan dari sebarang bentuk penghinaan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO telah hadir ke Majlis Khatam Hafazan Al-Quran dan Anugerah Gemilang Maahad Tahfiz Ar-Rushd pada Ahad.

“Petang Ahad saya pulang ke kampung halaman saya di Kampung Tanjung Gahai, Lipis untuk menghadiri Majlis Khatam Hafazan al-Quran dan Anugerah Gemilang Maahad Tahfiz Ar-Rushd yang diadakan buat kali pertama serta berbuka puasa bersama penduduk di kampung ini.
”Syabas dan tahniah kepada 42 penerima anugerah merangkumi lima kategori, serta kepada 12 pelajar kumpulan pertama yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar Maahad Tahfiz Ar-Rushd terus diberkati Allah SWT dan melahirkan huffaz cemerlang dunia serta akhirat.

“Dalam pada itu ketika berucap saya juga turut berpesan agar kesucian Islam dan al-Quran wajib dipertahankan dan sebarang penghinaan terhadap agama tidak boleh diterima.
“Semoga Maahad Tahfiz Ar-Rushd terus diberkati Allah SWT dan melahirkan huffaz yang cemerlang dunia serta akhirat, Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online
